Selasa, Februari 03, 2009

Objektif 'Jom Renungkan Sejenak'

Salam Ukhuwwah kepada pengunjung yang dihormati.

Setelah penulis publish 'Jom Renungkan Sejenak', terlintas di fikiran penulis, adakah tulisan penulis yang berjela-jela itu sampai objektifnya kepada para pembaca sekalian.

Jadi, penulis ingin mengajak pengunjung sekalian menghayati dialog berikut.

====================
Dialog A.

"Selepas 4 tahun ustaz/ustazah mengajar 120 orang murid membaca Iqra dan Al-Quran, takkan 8 orang sahaja yang boleh membaca dengan lancar? Ustaz/ustazah mengajar macamana ni? Tak sampai 10% pun pencapaian. Saya nak ustaz/ustazah usaha lagi selepas ini."

Dialog B.

"Selepas 4 tahun ustaz/ustazah mengajar, alhamdulillah dah ada 8 orang yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar. Syukur kepada Allah. Walaupun keseluruhan murid 120 orang, insyaAllah mereka juga akan mengikut jejak langkah 8 orang murid ini. Saya harap ustaz/ustazah berusaha dan jangan berputus asa."
====================

Berdasarkan 2 dialog di atas, apa agaknya si guru itu perlu bertindak? Jawapannya, sudah tentulah guru itu perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. TETAPI, kata-kata yang manakah yang lebih memberikan motivasi kepada guru tersebut?

Renung-renungkanlah..

p/s dialog di atas tidak dipetik daripada mereka yang masih hidup ataupun sedang meninggal dunia. Ia sekadar imaginasi penulis semata-mata.


BACA SETERUSNYA...

Ahad, Februari 01, 2009

Jom Renungkan Sejenak

Jam laptop menunjukkan pukul 1.09 pagi 29 Januari 2009 (Khamis). Tirai 2009 telah sebulan menaikkan layarnya. Namun, tirai penulis belum berkembang. Inilah hasil sulong penulis pada tahun 2009. Penulis ketika ini sedang 'offline' kerana kabel telefon di kampung penulis dicuri. Jadi, walau secanggih manapun kemudahan streamyx di rumah penulis, tiada maknanya kalau kabel telefon dicuri.

Ini mungkin menjadi alasan kenapa penulis 'berehat' seketika dari memblog. Tetapi sebenarnya fikiran penulis tak tenang sekaligus menyebabkan penulis tidak berada dalam 'mood' yang baik untuk menulis. Agak lama juga penulis tidak memblog. Apakah agaknya perkembangan di blog sahabat-sahabat penulis?

Bertanggungjawab sebagai setiausaha bagi Jawatankuasa Maklumat dan Rekod antara penyumbang penulis tidak memblog. Data Sistem Maklumat Murid (SMM) belum lagi lengkap untuk dihantar pada 5 Feb minggu hadapan.
Tetapi penulis tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebahagian murid belum menyerahkan borang maklumat. Sesekali, penulis merasakan yang penulis sudah tidak mampu untuk dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan ini. Tetapi ini bukanlah topik utama tulisan pada kali ini.

Topik utama yang penulis ingin luahkan pada hari ini ialah, kita semua sedia maklum bahawa tahun 2009 ini adalah tahun ke 5 Program j-QAF bagi sekolah 2005. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui oleh guru-guru j-QAF, tak kurang juga pihak pentadbiran dan pegawai-pegawai. Banyak juga komen yang telah didengar baik daripada guru-guru j-QAF dan juga pegawai-pegawai. Melihat kepada statistik pencapaian murid j-QAF, banyak pihak yang merasa gentar untuk menghadapi 2010. Kerana 2010 adalah tahun untuk menilai keberkesanan Program j-QAF sekolah 2005. Berapa peratuskah murid yang berjaya membaca Al-Quran seterusnya khatam? Berapa peratuskah murid yang berjaya khatam Al-Quran dengan kaedah Bacaan Ikut Guru? Begitu juga dengan Pemulihan Jawi, Kelas Bahasa Arab dan Kem Bestari Solat, berapa peratuskah mereka yang berjaya?

Namun, disebalik kebimbangan dan kegusaran kepada situasi tersebut, penulis merasakan kita harus bersyukur dan berterima kasih kerana Program j-QAF telah mula mengeluarkan hasil untuk dituai walaupun hasilnya buat masa ini bukanlah seperti yang diharapkan. Lihatlah pencapaian murid di sekolah masing-masing. Masihkah belum ada seorang pun murid yang belum menguasai Al-Quran dan tidak tahu mendirikan solat? Begitu juga dengan komponen j-QAF yang lain, masihkah tidak ada sorang murid pun yang belum menguasai? Dan persoalan yang terbesar ialah, masihkah ada pihak yang merasakan Program j-QAF langsung tidak memberi impak yang berguna kepada murid-murid?

Biarpun sedikit hasil untuk dituai sekarang, penulis dapat merasakan program ini telah mula menunjukkan hasil yang akan mengagumkan beberapa pihak. Tak salah rasanya berasa gembira selaku tuan kepada ladang. Walaupun bajanya dari guru GPI, digemburkan oleh KAFA, diairi dan dibasahkan seterusnya disuburkan oleh ibubapa, kita harus mengaku bahawa inilah kejayaan kita semua.

Tetapi tidak ada tuan ladang yang berhenti bekerja setelah menuai hasil yang pertama. Masih perlu bekerja keras untuk menambahkan hasil pada masa akan datang. Walaupun baja menyuburkan, tetapi ulat juga perlu dihapuskan. Berusaha dan berusahalah, kerana setiap usaha ada ganjarannya.

Tulisan penulis pada kali ini bukannya untuk syok sendiri, apatah lagi membangga diri. Tetapi, penulis melihat banyak pihak memberi komen yang 'menghentam'(maafkan penulis sekiranya 'menghentam' tidak sesuai digunakan). Baik di pihak atasan, mahupun di kalangan guru-guru j-QAF sendiri. Program kita yang punya, kerja kita yang buat, tak perlulah asyik menghentam seakan-akan kita terlupa untuk berterima kasih sesama kita.

Mungkin ada pihak yang mengatakan hentaman itu bukanlah untuk meruntuhkan tetapi untuk membina. Betulkah akan terbina? Bukankah guru j-QAF diajar untuk menyayangi anak muridnya di dalam mendidik mereka. Tidak dibenarkan berkasar walaupun sekadar mengetuk pen di kepala. Sekarang mari kita ubah situasi tersebut sesama kita. Apa salahnya kalau ditunjukkan, kita guru-guru j-QAF disayangi. Bukanlah pelukkan dan ciuman yang diharapkan, tetapi cukuplah ikatan ukhuwwah dan mahabbah menjadi pengikat supaya utuh dan berkekalan selamanya.

Mungkin selepas ini, sekiranya ada taklimat bersama pihak atasan, akan hilang 'mind setting' di kepala guru j-QAF,"apa lagi agaknya yang hendaklah dileterkan" dan sekiranya dipantau, "apa lagi yang tidak kena agaknya".

Pujilah pada yang perlu. Kerana pujian semestinya memberi motivasi. Yang mana pendek, kita sambungkan. Yang mana panjang, kita potongkan. Yang mana patah, kita sambungkan. Yang mana tawar, kita sedapkan. Seandainya kita sesama kita tidak memuji program kita, mungkinkah kita mengharapkan kepada rakan-rakan kita yang bergelar 'teacher' atau 'sir' untuk memuji dan merasa bangga dengan pencapaian kita?


BACA SETERUSNYA...